Tuesday 6 September 2011

MUDAHKAN URUSAN ORANG, ALLAH MUDAHKAN URUSAN KAMU.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Pagi tadi, tiba-tiba saya mendapat ilham yang saya rasa bagus untuk dikongsi bersama. Ketika kelas Chemistry tadi, pensyarah ajarkan tajuk terakhir dalam silibus. Agak panjang tajuk yang akhir ni, dan kami agak tergesa-gesa untuk menghabiskan silibus memandangkan minggu depan dah 'study week'. Dan lagi 2 minggu, saya dan sahabat di sini akan menghadapi peperiksaan akhir semester. Doakan kejayaan kami ya.

Sepanjang kelas, seperti biasa, saya memang suka buat 'mind map' sebagai nota sampingan. Agaknya sebab dah terbiasa dengan cara belajar semasa di MJSC dulu. Jadi, habis sahaja kelas seperti biasa, pensyarah akan berikan 1 salinan nota slideshow kepada 'class rep'. Dan seperti biasa, saya akan jadi tukang fotostat kerana saya AJK Akademik kelas.

Tetapi sejak kebelakangan ni, kami di sini semakin sibuk untuk persediaan final exam. Sepatutnya saya tak terlibat pun dengan fotostat nota Chemistry ni, sebab saya AJK Physics. Tapi, bila 'class rep' dah bagi nota tu kat saya minta fotostat, takkanlah nak menolak pula kan? Kasihan pula lihat, dia pun sibuk uruskan jadual kelas kami dan lain-lain. Tapi hati ni memanglah terasa berat.

Tiba-tiba, saya teringat pesan seorang guru yang sangat saya hormati, Cikgu Zabidin namanya. Semasa saya di MJSC, dia selalu berpesan kepada kami ketika perhimpunan, "Mudahkan urusan orang lain, Allah akan mudahkan urusan kita." Hati ni terasa sejuk semula. Dan kata-kata itu membuatkan saya berjaya pujuk diri sendiri untuk tolong mereka yang berkenaan fotostat kan nota dan latihan tutorial yang bertimbun-timbun ini. Walaupun diri sendiri pun sibuk, tapi saya yakin janji Allah itu pasti!

Tambah pula, diceritakan satu kisah benar yang berlaku pada seorang hamba Allah ini. Suatu hari, Zara, diminta untuk menjadi sukarelawan untuk pertandingan debat MRSM Se-Malaysia. Ketika itu, sepatutnya pelajar lain bercuti tetapi Zara terpaksa menjalankan tugasnya sebagai sukarelawan kerana maktabnya terpilih sebagai tuan rumah pada tahun itu.

Pada mulanya, Zara tak berpuas hati dan ingin balik ke rumah. Tetapi hasratnya telah dihalang ayahnya. Ayahnya, menasihatkan supaya dia turut serta membantu program maktabnya atas alasan tidakkah dia berasa malu ketika dirinya dalam kesusahan, dia telah merayu untuk belajar di MRSM. Namun setelah cita-citanya tercapai, takkan sedikit pun dia tidak mahu sumbangkan kepada yayasan yang telah banyak membantu itu? "Tidakkah kamu berasa malu?", kata ayahnya.

Lalu dia pun menurut nasihat ayahnya dalam keadaan separuh hati. Hatinya mula mempersoalkan, benarkah kalau kita mudahkan urusan orang, Allah akan mudahkan urusan kita? Ya, memang adakalanya balasan itu takkan dapat serta merta atau mungkin juga kita takkan perasan pun yang Allah dah bantu kita.

Tapi sungguh janji Allah itu Maha Benar!

Semasa minggu debat itu berlangsung, Zara telah dikurniakan oleh Allah sesuatu yang sangat berharga baginya yang selama ini dia mencari-cari. Yang amat berharga itu ialah, dengan izin Allah, Zara telah ditemukan dengan seorang sahabat baru yang sangat baik hati. Daripadanya Zara telah belajar banyak ilmu baru terutamanya tentang erti hidup sebagai hamba Illahi. Seandainya, Zara keraskan hati dan tak ikut nasihat ayahnya, pastilah Zara takkan berpeluang bertemu dengan sahabat yang sehebat itu. Akhirnya, setelah beberapa lama berkenal, dia menjadi sahabat baik Zara ketika susah dan senang. Zara sangat bersyukur.

Sahabatku di luar sana, ketahuilah, sahabat sejati itu amat sukar dicari. Mungkin satu dalam sejuta. Jadi jika kau temui, maka hargailah. Sahabat itu umpama pohon tempat berteduh, meski dibaling dengan batu, ia akan membalas dengan buah-buahan yang manis. Itulah anugerah Allah yang tak ternilai.

Dan ketahuilah saudaraku, antara 7 golongan yang dijanjikan naungan Allah pada hari Kiamat nanti ialah dua orang saudara yang bertemu dan berpisah kerana Allah.

Semoga cerita ini, akan bangkitkan motivasi kita untuk bantu orang di sekeliling kita. Biarlah tidak dipandang pada mata manusia, asalkan Allah 'memandang' kita. Pandangan Allah lebih utama.

Salam ukhwah, salam mujahadah! :-)


~QueeNischK~
"My Lord show me right from wrong, Give me light make me strong, I know the road is long, Make me strong."

P/S: Maaf, saya belum berkesempatan nak draf post berkaitan teori sains seperti yang dijanjikan dalam post sebelum ini. InsyaAllah, selepas selesai final exam, saya akan usahakannya. Syukran.

No comments:

Post a Comment