Monday 26 September 2011

Bukankah Aku Saudaramu?

Bacalah dengan nama Tuhanmu…

Apa khabar ikhwan dan akhowat semua? Bagaimana iman?

Coretan ini tidak lebih dari sekadar perkongsian yang diharapkan dapat “memaknakan” ukhuwah dalam jiwa kalian. Ketika diuji Allah dengan kesusahan, di sini, ana mula nampak sinarNya. Mungkin inilah yang dikatakan “Blessing in disguise” iaitu rahmat di sebalik kesusahan.

Kos hidup di sini tidak jauh bezanya seperti di Lembah Klang. Bajet makanan sahaja sehari boleh menjangkau RM 15 sehari walau bergelar pelajar. Itu baru masuk bab makan belum bab bayar duit kelas dan lain-lain yuran dan keperluan. Jadi, kalau tak sanggup mengikat perut, memang berhutanglah jawabnya. Tetapi di sini ana lihat ia sebagai satu rahmat kerana ana belajar untuk lebih menghargai nikmat Allah dan lebih menjaga kesucian hati. Ana teringat pesan Imam Syafie’, katanya tentang rahsia kebijaksanaan beliau ialah, “Pertama, kurangkan makan dengan banyak berpuasa. Kedua, kurangkan tidur dengan banyak qiamulail. Ketiga, kurangkan bercakap dengan banyakkan zikrullah.” Jadi, ini sebenarnya satu peluang untuk ana menjaga pemakanan. InsyaAllah.
  
Namun, ada masa keperluan begitu mendesak menyebabkan ana harus membuat kerja-kerja sampingan bagi menambah duit poket. Malulah rasanya kalau asyik nak meminta pada orang. Namun, Allah uji lagi dengan ujian tidak cukup wang untuk makan. Mahu tak mahu, beberapa hari ana hanya makan oat dibancuh air masak sebagai mengalas perut. Bayangkan, siangnya pula harus memerah otak untuk persediaan peperiksaan akhir semester. Sememangnya bila tiba waktu petang, ana akan rasa begitu lapar dan letih sekali. Untuk melupakan rasa lapar itu, ana akan tidur sebentar.

Maha suci Allah, pertolonganNya sangatlah dekat. Sahabat baik ana hantar SMS bertanya khabar. Ana terus terang sahaja yang ana tak dapat SMS selalu kerana ana sedang ada masalah duit. Sebaik sahaja ana kongsikan masalah itu, dia yang begitu mulia hatinya telah membantu ana. Pada asalnya, ana tidak izinkan kerana dia sendiri juga sedang memerlukan duit itu. Ana sangat sayangkan dia dan tidak sekali-kali mahu menyusahkannya. Dan niat ana bercerita itu hanya untuk meringankan bebanan perasaan bukan kerana ingin meminta simpati. Rasa terharu yang tak dapat dibayangkan. Walaupun hubungan ini jauh terpisah oleh faktor geografi tetapi Allah telah membuktikan pada ana keindahan ukhwah fillah ini. Subhanallah!

Bukan itu sahaja, seorang lagi sahabat ana di sini juga melakukan hal yang sama. Ana meminta tolong dia jualkan sandwich ana kerana ana sangat pemalu dalam bab-bab mempromosi barang ni. Tetapi lain jadinya, dia membeli semua sandwich ana, lalu dibayarnya dengan harga yang lebih. Ana tak tahu nak kata apa melainkan syukur kepada Allah yang tak terhingga kerana menemukan ana dengan ramai orang yang hebat-hebat peribadinya di sini. Alhamdulillah.

Tetapi biarlah identiti mereka dirahsiakan atas dasar privasi. Cuma di sini, ana dapat belajar bahawa kuasa contoh itu luar biasa hebatnya kerana sedikit sebanyak adakalanya ana terikut-ikut dengan sifat yang ditonjolkan oleh sahabat ana itu. Benarlah, “Actions speak louder than words.” Ana begitu tersentuh dengan jalinan ukhwah ini. Dan melalui pembacaan ana dalam Fanzuru tulisan Hilal Asyraf, ada disebut, “Setinggi-tinggi ukhwah ialah ithar (melebihkan saudara melebihi kepentingan diri), dan serendah-rendah ukhwah ialah berlapang dada.”

Sebenarnya di saat ana menukilkan entry ini, ana ada terasa hati dengan salah seorang sahabat ana. Tetapi apabila direnungkan semula diri ini, mengapa mesti kita mengharap balasan daripada sahabat kita yang juga manusia biasa seperti kita? Bukankah ukhwah ini terbentuk atas dasar keimanan? Jika benarlah begitu, cukuplah redha Allah untuk kita, biarpun insan yang bergelar “sahabat” itu tidak menghargai kehadiran kita dalam hidupnya. Yang penting tanggungjawab kita kepada Allah untuk menjaga hubungan sesama manusia. Cukuplah Allah sebaik-baik Pemberi. ;-)

Bukankah aku saudaramu?

Jika benar, tariklah saudaramu dari jurang neraka. Dan ayuhlah bersama-sama kita berpimpinan tangan ke syurgaNya… Janji Allah itu Maha Benar. Orang-orang yang bersahabat ikhlas keranaNya dijanjikan naunganNya pada hari yang tiada naungan melainkan naungan Allah. Semoga kita termasuk daripada golongan yang dijanjikan itu. InsyaAllah.

(Sisterhood Circle – All the best in your coming exam!)
Ukhwah fillah ‘abadan ‘abada!


P.S: Sahabat, semoga Allah memberkati dan melipat gandakan rezeki anti. Jadilah seindah namamu. Anti memang layak dengan nama itu. :) Syukran.





~QueeNischK~ 
"My Lord show me right from wrong, Give me light make me strong, I know the road is long, 
Make me strong."

No comments:

Post a Comment