Thursday 27 January 2011

Cerita Kedai Kopi



"Pak Li, teh O panas satu!"
"Teh O panas siap!"
...
"Gulp..kenapa manis sangat teh ni?"
"Eh, yalah..elok kalau minum manis-manis buah je. Baru sedap!"
"Hai, orang tu bila dah kena kencing manis baru nak sibuk jaga makan minum. Dulu tak kisah pun."
"Heh, biasalah Pak Li, kita dah lanjut usia ni nak kena pandai jaga badan."

Itulah alkisahnya di kedai kopi Pak Li.
Kita selalu terdengar orang menyebut "manisnya teh ni.." atau "manisnya buah ni..." atau kadang-kadang kita sendiri pun sebut lebih kurang begitu juga. Jarang sekali kita terdengar orang kata, "Kenapa manis sangat gula ni?" ataupun "Manisnya gula ni!"

Agak-agak kenapa ya???

Sebabnya, semua orang dah tahu yang membuatkan sesuatu makanan itu manis ialah gula. Macamana pula? Yalah, sebab kita boleh merasainya! Betul, kan?!
Kita RASA manisnya gula. TAPI kita tak kata pun gula yang MANIS. Hairan! Kesian pada gula, dia yang manis tapi orang tak puji dia pun, sebaliknya orang puji teh tu yang manis!

Begitulah juga dalam hidup ini. Bila kita melakukan kebaikan, jarang-jarang orang nak sebut-sebut kebaikan itu apatah lagi nak menghargainya selalu. Tapi sekali kita buat jahat, orang ingat kejahatan kita tu sampai mati! Realiti kehidupan.

Tetapi janganlah sekali-kali kita berputus asa dari rahmat ALLAH walaupun kadangkala kebaikan yang dicurahkan dibalas dengan caci maki dan umpatan. Kerana walaupun, manusia jarang sekali meluahkannya dalam perkataan, hakikatnya manusia tetap merasai sesuatu kebaikan itu terutamanya apabila ia sudah tiada.

Mungkin hari ini, orang tidak sedar tentang kasih sayang dan kebaikan kita kepadanya. Tak mengapa kerana apa yang kita cari hanyalah redha ALLAH. Percayalah, suatu hari nanti, tatkala jantung sudah "bersara", dan nafas pun sudah terhenti, pasti mereka itu akan mula terasa "manis" dan "nikmatnya" kebaikan itu.

Kesimpulannya, teruskanlah berjuang dalam kehidupan. Mencari redha ALLAH dengan menyebarkan benih-benih kebahagiaan kepada ummah ini. Semoga suatu hari nanti, benih itu akan terus membiak dengan suburnya menyebarkan keindahan syari'at Islam. InsyaALLAH.

Walau hanya satu senyuman, itu juga dikira kebaikan dan sedekah kerana mampu menenangkan sesiapa yang melihatnya.

MOTIVASI HARI INI:
Berbuat baiklah sesama manusia selagi diberi peluang dan ruang.
Walau tidak disebut-sebut tapi tetap akan dirasai dan diingati dalam hati.
Percayalah kebaikan anda itu akan bercambah dan "berjangkit".
Semoga ceria selalu!!! :D



No comments:

Post a Comment