Friday 7 January 2011

AKU PASTI CEMERLANG!!

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

Izinkan saya bawakan satu cerita inspirasi daripada pengalaman saya. Walaupun ia cuma hanya sesuatu yang kecil untuk dibandingkan dengan pengalaman hebat tokoh-tokoh di luar sana, saya tetap memilih untuk berkongsi cerita yang lahirnya memang dari lubuk hati sendiri agar ia juga akan menembus hati yang sedang 'mencari'.

Pernah suatu ketika saya diuji dengan musibah yang benar-benar menggugat keyakinan diri dan kesabaran. Seorang teman saya yang amat akrab tiba-tiba berubah sejak ditawarkan ke sebuah institut pengajian yang ternama. Daripada seorang yang menjaga nilai-nilai persahabatan tiba-tiba telah berubah sekelip mata menjadi seorang yang suka 'underestimate' orang lain. Mungkin perbuatan yang dilakukan itu dilakukan secara tidak sengaja. Saya tak pula terasa hati kalau itu hanya untuk sekali dua. Tetapi yang benar-benar mencabar saya ialah dia seolah-olah tidak mempedulikan lagi persahabatan yang pernah terjalin ini hanya kerana kedudukan saya yang bagai langit dengan bumi apabila bersamanya. Dia bijak, kaya dan punya rupa, juga seorang yang sangat dihormati jauh beza dengan saya dahulu yang pasif, dan pesimistik.

Perbuatannya itu telah menyebabkan kecil hati saya bertukar menjadi marah. Tetapi bukanlah marah hingga memutuskan silaturahim.

Apa yang saya ingin kongsi di sini ialah apabila kita marah salurkanlah ia untuk perkara yang positif. Jangan jadikan cemuhan orang lain itu sebagai alasan untuk kita hilang budi pekerti tapi jadikanlah itu sebagai pembakar semangat untuk lebih cemerlang.

Hasil daripada pemikiran yang positif, saya bertungkus lumus berusaha tanpa kenal erti penat lelah. Adakalanya kepala terasa sakit seolah-olah diketuk 'hammer' tetapi itu semua tidak dihiraukan kerana semangat yang membakar dalam diri saya ketika itu jauh lebih terasa berbanding sakit yang dialami. Berkat usaha dan doa diiringi dengat restu ibu bapa dan guru, akhirnya saya telah berjaya mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Usaha saya tidak berhenti setakat itu sahaja, doa yang dipanjatkan terkabul juga. Saya ditawarkan menyambung pelajaran ke sebuah institusi yang tak kurang hebatnya daripada si dia. Alhamdulillah, sehingga hari ini kami masih menjalinkan persahabatan. Mungkin telah tiba masanya ALLAH memakbulkan doa saya agar teman akrab saya itu lembut hati dan berubah untuk lebih menghargai sesebuah persahabatan.

Hanya kepada Allah saya panjatkan kesyukuran. Diharapkan cerita ini dapat memberi inspirasi kepada sahabat-sahabat yang tengah rasa 'down' sekarang ni. Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment