Saturday 26 November 2011

Ana Dilamar Raja

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum, ya akhi wa ukht! :) Apa khabar iman di hati? Semoga sentiasa dalam pemeliharaan Allah alHafiz.

Hari ini sudah seminggu ana berada di UiTM Kuala Pilah (Beting), sebagai pelajar semester 2. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar. Allah telah banyak membantu ana dalam segala urusan. Dialah yang paling setia bersama ana setiap detik.

Ya, adakalanya kita fikir, punya kawan yang ramai itu dapat menghilangkan sepi di hati. Tidak sama sekali! Ramai kawan belum tentu ramai teman. Dan yang punya teman itu belum tentu temannya teman yang sejati. Zahirnya, mata ini memang bisa tertipu dengan mudah pada hipokrisi penduduk bumi dan fatamorgana duniawi yang sering menggiurkan hati.

Kebelakangan ini, boleh dikatakan banyak perkara kejutan dalam hidup ana. Selepas ini, entah apa lagi kejutannya. Tetapi apapun, mujur Allah berikan kekuatan untuk terus husnuzzon (bersangka baik) dengan takdir Allah. Cuma kejutan yang terbaru ini, sememangnya menggoncang iman di dada, menguji tahap kecerdasan emosi, dan berterusan memerlukan kesabaran yang memuncak bagai Gunung Everest. Hati bagai disayat-sayat, daging bagai dicarik-carik. Hanya Allah yang tahu sakitnya tak terperi. Namun mungkin ini cara Allah untuk tarbiyah kita agar hati ini terus berzikir tanpa henti menyebut kalamullah yang suci.

Ana dilamar Raja. Ya, sungguh ini FAKTA BUKAN AUTA! Inilah yang beratnya untuk ana buat keputusan. Ana tidak mengimpikan hidup dalam istana dengan emas dan berlian. Tidak juga menanti-nanti lamaran yang istimewa ini. Tetapi ia hadir secara tiba-tiba, ketika diri sedang cuba diislahkan. Oh, apakah jawapan yang patut diberi? Terima atau menolaknya? Andai kalianlah orang yang dilamar Raja itu, adakah kalian akan terima?



Jujur ana katakan, ana belum 100% bersedia. Tetapi jika ingin menunggu saat di mana 100% bersedia itu tiba, it seems to be impossible! Istikharah yang dilakukan setiap hari, doa yang dipohon setiap waktu, adakah lamaran ini jawapanNya? Hmm...

Tetapi seandainya ana menolak lamaran ini, mudaratnya lebih besar daripada menerimanya. Ana telah fikirkan masak-masak. Ana telah lama aturkan strategi untuk menghadapi saat ini. Tak sangka ia datang dengan sebegitu pantas. Apapun, di hati ini tetap punya keyakinan yang teguh bahawa Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Dan setiap kejadian itu PASTI ada HIKMAHNYA. Janji Allah itu benar!

Maka akhirnya, ana terima lamaran Raja itu. Lamaran untuk menjadi pejuang agamaNya. Dialah Raja sekalian alam yang telah melamar ana dan sahabat semua untuk kita menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah SAW. Kata seorang akhwat, "Jangan perasan Allah perlukan kita untuk pelihara agamaNya. Kita ada atau tiada, agama Islam ini akan tetap terus terpelihara dengan izinNya. Dia tak perlukan kita pun, tapi kitalah yang perlukan Dia!" Tersentap hati mendengar ucapannya.


"Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami." - [Surah al-Sajdah:24]


"Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." - [Surah at-Taubah: 41]


Lalu ana terima risikan perjuangan ini dengan harapan Allah yang Maha Kuat memberikan ana kekuatan sekuat semangat juang Saidina Umar al-Khattab dan Salahuddin Ayyubi. Begitu juga ana pohonkan untuk sahabat-sahabat  fillah yang ana cintai. Ikatan ini perlu kita pelihara kerana halaqah yang terbentuk ini adalah atas dasar iman dan takwa. Atas dasar cinta kerana Allah !




"Ya Allah, Ya Mujib, teguhkanlah ikatan hati-hati antara kami dan kekalkanlah kemesraannya. Semoga ukhwah ini membawa kami ke syurgaMu."




~QueeNischK~ "My Lord show me right from wrong, Give me light make me strong, I know the road is long, Make me strong."

2 comments:

  1. Dah bagi jawapan ke ukht?Oh... :)

    ReplyDelete
  2. Jannah alFateh: InsyaAllah, begitulah nampaknya.. Allah lebih tahu bukan? Kita hanya merancang. Yang pasti, ana sedar, diri ana terlalu kerdil untuk mengangkat kalimah La ila ha illallah seorang diri. Jazakillah khairan kathira. :)

    ReplyDelete