Saturday 5 March 2011

SAHUT CABARAN MENJADI DOKTOR TERBAIK !!!

Dengan Nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Hari ni saya nak kongsi sedikit something yang betul-betul memotivasikan saya pada awal pagi. Artikel yang saya baca ini buatkan saya tersenyum seorang diri...Mulalah duk imagine, tentang apa yang akan terjadi 10 tahun lagi.Haha..mula-mula memang rasa macam giler je..Tapi apa salahnya, berangan sekali-sekala kan? Barulah aktif sikit otak kanan tuh! Duk imagine NURHAFIZAH IBRAHIM, seorang PAKAR PSYCHONEUROIMMUNOLOGY yang outstanding dalam 10 tahun lagi.

Cey, jauh betul aku berangan pagi tadi..maklum lah baru bangun tidur..otak masih segar bugar! Haha..Takpelah, bukan ke apa yang kita bayang tu satu doa. Moga ALLAH makbulkan. Amiin.

OK, sambung cerita...
Artikel ini dipetik daripada Berita Harian (Varsiti) Bil. 60 [3-
9 Mac 2011].

Mengharapkan sepenuhnya pertolongan ALLAH dalam setiap apa yang dilakukan menjadikan perjalanan kerjaya Prof Dr. Muhaya Mohamad dilihat begitu mudah.

Bergelar satu-satunya Profesor dalam bidang Oftalmologi di Malaysia dan jauh meninggalkan rakan seangkatan lain menyebabkan beliau tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran atas anugerah Allah berikan kepadanya.

Jauh sekali untuk berbangga, malah beliau sering mengingatkan dirinya agar tidak leka dengan nikmat Allah dan berdoa diberikan kekuatan menghadapi cabaran mendatang.

"Sejak di universiti lagi, saya pegang pada prinsip, lakukan apa yang terbaik dan niat kerana Allah. Ketika kuliah, saya tumpukan apa yang diajar pensyarah. Kalau ada yang tak faham, terus tanya pensyarah."

"Tidak cukup dengan itu, saya tanya pula pada rakan lain. Kalau ada rakan yang masih tak faham, saya pula yang ajar mereka. Mungkin kerana sikap saya suka tolong orang, Allah memudahkan jalan untuk saya."

"Saya bersyukur kepada Allah yang mengurniakan perjalanan kerjaya yang selesa, biar adakalanya terpaksa berdepan dengan cabaran yang tidak diduga, saya masih mampu tanganinya dengan baik, " katanya.

Kini bertugas sebagai Perunding Pakar Bedah Mata selain menyandang jawatan Ketua Pusat Mata dan Lasik di Pusat Perubatan Prince Courts, Professor Oftalmologi di UKM, serta Professor Ajung di UIAM, kecemerlangan akademik dan personalitinya ketika di UKM melayakkan beliau muncul sebagai penerima sulung Anugerah Toh Puan Rohah pada 1982.

Sebaik menamatkan kursus doktor pelatih pada 1986, beliau kemudian ditawarkan menjadi pensyarah pelatih di UKM sebelum memperoleh Fellowship dalam bidang Uveitis dari Hospital Mata Moorfields, UK dan Ph.D dari University Of London dalam bidang Ocularimmunology.

Beliau yang diiktiraf pakar perunding mata pertama di Asia Tenggara yang menjalankan prosedur lasik dengan mesin vismax femtosecon me
ngakui banyak cabaran terpaksa dilalui sepanjang bergelar pelajar.

"Pernah saya disuruh membuka tudung oleh pensyarah ketika menjalani latihan klinikal di Moorfields Eye Hospital kerana penampilan saya dianggap asing dan bimbang boleh menjejaskan reputasi hospital berprestij itu."

"Saya langsung tidak marah, sebalik berterima kasih atas teguran itu. Namun saya katakan kepadanya yang saya tidak akan berkompromi dalam soal itu kerana saya yakin Allah akan membantu,"katanya.

Amat menitikberatkan aspek agama dalam melaksanakan tugas, beliau berkata, ingatan ayah agar menggunakan pendekatan holistik dan menerapkan nilai keISLAMan dalam rawatan dipegang kemas.

Baginya, menjadi doktor saja tidak cukup kerana tuntutan sebagai seorang Muslim juga perlu disatukan bersama demi memenuhi amanah Allah dengan jujur dan ikhlas.

"Apa saja yang saya lakukan, saya mohon pertolongan daripada Allah dan nyata banyak kemudahannya. Jika saya perlu melakukan pembedahan, saya amalkan solat hajat selain meminta suami mendoakan untuk saya.

"Kalau kita yakin denganNya, insyaALLAH, kerja pembedahan dapat dijalankan dengan baik tanpa sebarang masalah. Kadang-kadang, saya juga diuji apabila pesakit yang dibantu tidak menunjukkan tanda-tanda sembuh setelah menjalani rawatan. Saya tanya kepadanya, adakah dia ada melakukan apa-apa kesilapan. Jika benar, saya mohon dia istighfar banyak-banyak,"katanya.

Masih setia dengan UKM, Prof Muhaya tetap memenuhi tanggungjawab mendidik anak bangsa di Jabatan Oftalmologi, universiti itu. Beliau juga sering menjadi penceramah motivasi di tempat kerjanya selain diundang media massa untuk berkongsi pengetahuannya dalam pelbagai topik berkaitan mata ataupun motivasi.

Kini aktif mengacarakan Program bual bicara Mata ke Hati terbitan Astro, Prof Muhaya sering memastikan masanya tidak terbuang begitu sahaja tanpa pengisian dan memanfaatkan dengan mendengar CD ceramah agama ulama' tanah air terutama ketika dalam perjalanan ke tempat kerja atau pulang ke kampung.

***Kepada bakal /pelajar perubatan, anda boleh dapatkan buku hasil tulisan Prof Muhaya di pasaran bertajuk How To Become A Good & Successful Medical Student. Buku tersebut mengandungi hasil pengalaman beliau dan pengamatannya terhadap pelajar perubatan yang diharap dapat membantu pelajar untuk menjadi DOKTOR TERBAIK.***

1 comment: