Saturday 27 August 2011

KATAKANLAH ...





Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Hari ini saya sengaja ingin kongsikan 2 vlog di atas. Apabila saya mendengar tazkirah pendek yang disampaikan oleh Prof Muhaya itu tadi, saya teringat tentang Kak Nasuha, sahabat saya yang juga banyak mengajarkan saya tentang Islam melalui perlakuannya. Melalui beliau, saya benar-benar terdidik dengan satu istilah yang amat penting untuk kita sebutkan apabila ingin melakukan sesuatu, iaitu "INSYA-ALLAH".


Peribadi Kak Nasuha ini sangat saya kagumi. Beliau bukanlah seorang yang banyak bercakap melainkan apa yang dilontarkan dari bibirnya hanyalah kata-kata yang menyejukkan hati sahaja. Beliau banyak menyebut tentang keindahan susunan takdir Allah dan lebih banyak mentarbiah orang sekelilingnya melalui perlakuannya.

Hendak dijadikan cerita, suatu hari saya berjanji dengan Kak Nasuha untuk keluar beriadah bersama. Saya menghantar sms kepadanya lalu beliau membalas dengan kata "Insya-Allah". Mungkin kerana saya dibesarkan dalam suasana budaya masyarakat yang sering menyalah gunakan istilah "InsyaAllah" itu, saya telah mensalah tafsir maksudnya. Saya sangkakan beliau sibuk lalu tidak pasti sama ada dapat keluar riadah bersama saya atau tidak. Lalu petang itu, saya batalkan hasrat saya kerana tidak dapat apa-apa mesej daripadanya sama ada mahu keluar atau tidak.

Rupa-rupanya, pada hari yang lain, apabila kami berbual tentang sesuatu dan beliau pula teringat tentang kisah petang itu, beliau pun bertanyakan kenapa saya tidak datang ke rumahnya seperti yang dijanjikan? Saya yang tidak faham maksudnya pun berasa hairan. Setelah saya beritahu beliau tentang sangkaan saya itu, barulah beliau menerangkan yang sebenarnya jika beliau katakan "Insya-Allah" itu maksudnya beliau memang sungguh-sungguh mahu melakukannya. Dan kenapa dikatakan begitu adalah kerana bukankah setiap urusan kita itu walau sekecil manapun sebenarnya berlaku hanya dengan izin Allah?

Setelah itu barulah saya faham dengan kefahaman yang sebenar-benarnya. Beliau telah menunjukkan keindahan Islam itu melalui amalnya. Subhanallah!  Dan bagi pengajaran diri saya dan sahabat pembaca semua, itulah konsep dalam Islam yang sebenarnya. Malang sekali, kita sering menyalah gunakannya dengan mengatakan "InsyaAllah" pada perkara atau urusan yang kita tidak mahu atau tidak bersungguh-sungguh lakukannya. 

Cuba renung diri kita, adakah kita cuba menyalahkan takdir Allah sekiranya sesuatu yang kurang baik itu berlaku kerana kita sudah mengucapkan InsyaAllah? Sebagai contoh yang sering berlaku, apabila ditanya "Datang tak kuliah petang ni?" Lalu kita pun menjawab, "InsyaAllah." Sedangkan dalam hati kita sememangnya tiada niat mahu datang. Lalu apabila esoknya kita ditanya,"Kenapa tak datang semalam?". Kita dengan senang hati pun menjawab, "Kan, aku kata InsyaAllah je semalam?!" .Seolah-olah kita mahu menyalahkan takdir Allah pula, sedangkan dari awalnya lagi kita sudah tidak bersungguh-sungguh untuk datang ke majlis tersebut.

Semoga dengan perkongsian pendek ini, kita sama-sama dapat belajar sesuatu..iaitu berlemah-lembutlah dalam tingkah laku dan perkataan serta ucapkanlah "InsyaAllah" apabila hendak melakukan sesuatu walaupun hanya sekecil-kecil perkara. Sesungguhnya, kita semua milik Allah dan kepadaNya kita akan kembali.

Yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu adalah kelemahan diri saya sendiri. Hakikatnya kedua-duanya datang daripada Allah. Semoga hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. InsyaAllah. ;)


P.S: Sedar tak sedar, kita sudah pun di penghujung Ramadhan. 27 Ramadhan 1432 H. Dan Ramadhan tahun ini cuma ada 29 sahaja, Jadi, rebutlah peluang yang masih bersisa ini untuk melipat gandakan 'amal kita. InsyaAllah. Semoga ibadah diterima Allah SWT.

No comments:

Post a Comment