Sunday, 27 November 2011

Spotlight EE-mAAn Sempena Hijrah

Segala pujian hanya kepada Allah SWT Tuhan sekalian alam.
Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu utusan Allah.

Hari ini genap 1433 tahun selepas peristiwa hijrah nabi SAW dan para sahabat ke Madinah. Dan selama itu juga Islam terus berkembang pesat ke seluruh pelusuk dunia. Cahayanya menyinari seluruh alam. Bersyukurlah kepada Allah yang menjadikan kita sebagai seorang Muslim. Salam Ma'al Hijrah buat sahabat pembaca yang dirahmati Allah. :) Apa khabar iman? Bagaimana dengan azammu sebelum ini, sudah tercapaikah? Dan bagaimana dengan azam tahun baru ini? Moga-moga jiwa ini masih kekal bersemangat waja seperti para syuhada di jalan Allah!

Adakalanya sifat mazmumah yang menebal dalam hati menyebabkan begitu sukar untuk diri ini berubah demi mencapai 'mardhatillah' (redha Allah). Maka sebelum meneruskan sesi introspeksi iman ini, mari kita beristighfar seketika...

Sempena awal Muharram yang diberkati Allah ini, tentu sahabat-sahabat ada memasang niat untuk berhijrah. Rasa ingin menjadi lebih baik itu sememangnya suatu fitrah. Fitrah hati yang Allah kurniakan kepada kita adalah merasa senang pada kebaikan dan benci kepada keburukan. Cuma adakalanya, diri yang alpa akan terleka dan membiarkan hatinya terus-menerus dikotori dan ternoda dengan dosa. 


"Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya,
maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya,
sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu),
dan sungguh rugi orang yang mengotorinya." - [Surah Asy-Syams : 7-10]


Tanpa hati yang suci bersih, sinar taufiqNya takkan dapat menembus kegelapan hati itu. Hati yang kotor umpama mangkuk yang tertelungkup dan hitam legap. Biar cahaya matahari memancak sekalipun, cahayanya takkan sekali-kali mampu menembusi mangkuk yang tertelungkup dan legap itu. Auditlah diri sendiri, mungkin tatkala membaca tulisan ini, kita sibuk menuding jari mengatakan sahabat kita yang kotor hatinya. Sedangkan yang mengatakan orang lain itu berhati kotor kemungkinan besar jauh lebih kotor dan berdaki hatinya.

Astaghfirullahal 'aziim. Ya Allah, ampunkan hambaMu ini...


["Hati ibarat kubah masijd ataupun mangkuk yang terbalik, sedangkan 'miskat' (yang disebut dalam Al-Quran), ialah sinar dalam hati seseorang yang menerangi seluruh jiwanya. Jika setiap perbuatan kita berlandaskan hawa nafsu, mangkuk itu akan menjadi semakin kotor sehingga sinar tidak dapat meneranginya. Sebaliknya jika kita sentiasa mengendalikan nafsu, mangkuk itu seperti kaca yang memantulkan sinar dalam hati kita."] 
- Dipetik daripada novel Demi Duha oleh Muhammad Makhdlori terbitan PTS Sdn. Bhd.


Selama ini sejauh mana kita benar-benar menjaga fitrah hati yang Allah kurniakan ini? Seringkali di lidah menyebut "Alhamdulillah, syukur kepada Allah."  Tetapi adakah dikira kita ini bersyukur seandainya nikmat Islam dan iman yang ada dalam hati ini tidak dipelihara sebaik-baiknya? Tanyalah iman dalam hatimu...

Selama ini, berapa banyak nikmat yang Allah beri kepada kita? Mampukah kita menghitungnya? Tetapi berapa banyak kali pula kita sujud syukur kepadaNya dengan meruntuhkan segala keegoaan dalam hati? Sujudlah dengan hatimu, wahai hamba Illahi...

Selama ini berapa kali Allah bersabar dengan karenah kita yang tak reti-reti menurut perintahNya, malah kurang pula usaha untuk meninggalkan maksiat...berapa kali Allah bersabar dengan kita, lalu Dia menangguhkan hukuman azabNya ke atas kita? Tetapi hambaNya yang di bumi masih lagi tanpa henti menodai diri dengan kejijikan dosa dan maksiat! Ya Allah, ampunkan kami...

Selama ini, berapa kali bibir ini menuturkan kalimah "La ila ha illallah"...Namun yang ditutur langsung tidak menggetarkan jiwa. Meski bibir berkata, "Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah." Tetapi yang nyata itu semua dusta belaka! Setiap hari bukan Allah yang menjadi Tuhannya...tetapi dia bertuhankan harta dan kekayaannya, pangkat dan darjatnya, nama dan sanjungan manusia, malah lebih hina dari itu apabila dia bertuhankan nafsu yang tak pernah puas pada keseronokan dunia yang penuh tipu daya. Apakah itu yang dikatakan TIADA TUHAN SELAIN ALLAH?

Ya Ghafur, kami merayu dan mengharap akan teduhan maghfirahMu...

Wahai permata-permata Islami, janganlah kita biarkan diri yang berharga ini hina diselaputi debu dan lumpur. Kerana itu akan menghilangkan sinar yang ada padamu, wahai si permata Islam. Bersihkanlah hatimu dengan selalu memohon ampun dan mendekati majlis-majlis ilmu. Engkau ibarat permata yang seandainya dicampak ke lubang yang paling hina sekalipun, pasti berkerumun jutaan manusia ingin merebutmu kerana dirimu terlalu berharga. Tetapi INGAT, engkau hanya akan menjadi permata yang bersinar itu hanya dengan Islam sebagai cara hidupmu.



Suluhlah hatimu dengan 'spotlight iman', agar langkahmu lebih tersusun dan terarah menghala ke Jannah.

Semoga apabila tiba hari yang tiada naungan melainkan naungan daripadaNya, engkau dan aku akan menerima buku catatan amal yang 'tertulis'...

imAAn...

bukannya,

EEman...

Kerana cinta fillah yang mendalam ini, aku pohon agar kau doakan kesejahteraan kita bersama di dunia dan di akhirat. Semoga kita berjiran di syurgaNya nanti. InsyaAllah. :)




~QueeNischK~ "My Lord show me right from wrong, Give me light make me strong, I know the road is long, Make me strong."

Saturday, 26 November 2011

Ana Dilamar Raja

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum, ya akhi wa ukht! :) Apa khabar iman di hati? Semoga sentiasa dalam pemeliharaan Allah alHafiz.

Hari ini sudah seminggu ana berada di UiTM Kuala Pilah (Beting), sebagai pelajar semester 2. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar. Allah telah banyak membantu ana dalam segala urusan. Dialah yang paling setia bersama ana setiap detik.

Ya, adakalanya kita fikir, punya kawan yang ramai itu dapat menghilangkan sepi di hati. Tidak sama sekali! Ramai kawan belum tentu ramai teman. Dan yang punya teman itu belum tentu temannya teman yang sejati. Zahirnya, mata ini memang bisa tertipu dengan mudah pada hipokrisi penduduk bumi dan fatamorgana duniawi yang sering menggiurkan hati.

Kebelakangan ini, boleh dikatakan banyak perkara kejutan dalam hidup ana. Selepas ini, entah apa lagi kejutannya. Tetapi apapun, mujur Allah berikan kekuatan untuk terus husnuzzon (bersangka baik) dengan takdir Allah. Cuma kejutan yang terbaru ini, sememangnya menggoncang iman di dada, menguji tahap kecerdasan emosi, dan berterusan memerlukan kesabaran yang memuncak bagai Gunung Everest. Hati bagai disayat-sayat, daging bagai dicarik-carik. Hanya Allah yang tahu sakitnya tak terperi. Namun mungkin ini cara Allah untuk tarbiyah kita agar hati ini terus berzikir tanpa henti menyebut kalamullah yang suci.

Ana dilamar Raja. Ya, sungguh ini FAKTA BUKAN AUTA! Inilah yang beratnya untuk ana buat keputusan. Ana tidak mengimpikan hidup dalam istana dengan emas dan berlian. Tidak juga menanti-nanti lamaran yang istimewa ini. Tetapi ia hadir secara tiba-tiba, ketika diri sedang cuba diislahkan. Oh, apakah jawapan yang patut diberi? Terima atau menolaknya? Andai kalianlah orang yang dilamar Raja itu, adakah kalian akan terima?



Jujur ana katakan, ana belum 100% bersedia. Tetapi jika ingin menunggu saat di mana 100% bersedia itu tiba, it seems to be impossible! Istikharah yang dilakukan setiap hari, doa yang dipohon setiap waktu, adakah lamaran ini jawapanNya? Hmm...

Tetapi seandainya ana menolak lamaran ini, mudaratnya lebih besar daripada menerimanya. Ana telah fikirkan masak-masak. Ana telah lama aturkan strategi untuk menghadapi saat ini. Tak sangka ia datang dengan sebegitu pantas. Apapun, di hati ini tetap punya keyakinan yang teguh bahawa Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Dan setiap kejadian itu PASTI ada HIKMAHNYA. Janji Allah itu benar!

Maka akhirnya, ana terima lamaran Raja itu. Lamaran untuk menjadi pejuang agamaNya. Dialah Raja sekalian alam yang telah melamar ana dan sahabat semua untuk kita menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah SAW. Kata seorang akhwat, "Jangan perasan Allah perlukan kita untuk pelihara agamaNya. Kita ada atau tiada, agama Islam ini akan tetap terus terpelihara dengan izinNya. Dia tak perlukan kita pun, tapi kitalah yang perlukan Dia!" Tersentap hati mendengar ucapannya.


"Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami." - [Surah al-Sajdah:24]


"Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." - [Surah at-Taubah: 41]


Lalu ana terima risikan perjuangan ini dengan harapan Allah yang Maha Kuat memberikan ana kekuatan sekuat semangat juang Saidina Umar al-Khattab dan Salahuddin Ayyubi. Begitu juga ana pohonkan untuk sahabat-sahabat  fillah yang ana cintai. Ikatan ini perlu kita pelihara kerana halaqah yang terbentuk ini adalah atas dasar iman dan takwa. Atas dasar cinta kerana Allah !




"Ya Allah, Ya Mujib, teguhkanlah ikatan hati-hati antara kami dan kekalkanlah kemesraannya. Semoga ukhwah ini membawa kami ke syurgaMu."




~QueeNischK~ "My Lord show me right from wrong, Give me light make me strong, I know the road is long, Make me strong."

Wednesday, 16 November 2011

Aku Memang Nakal, Kenapa Tak Percaya?

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Saya tak tahu kenapa di saat saya menaip entri ni, terasa macam nak gelak terguling-guling aje..hahaha.. sebab ada sesuatu yang menggelikan hati saya sejak akhir-akhir ini. People always expect me to be the innocent one, and I'm proud of it! Itu namanya anugerah Allah. ^_^

Anyway take note, "Saya memang nakal, kenapa tak percaya?"

Kenakalan saya yang tersembunyi ini pernah menjadi satu kelemahan dalam hidup saya suatu ketika dahulu. Tetapi hari ini saya sangat bersyukur kerana Allah jadikan saya sebegini. Kenakalan yang dulunya mengundang 'bala' dalam hidup akhirnya menjadi rahmat Allah yang tak terhingga kerana dengan kenakalan inilah, dengan izin Allah saya mampu menyelami perasaan budak nakal yang lain yang memerlukan tarbiyah Islamiyah. Dan kerana kenakalan semulajadi ini juga, menjadikan saya seorang yang kreatif ketika harus berdepan dengan karenah si budak-budak comel yang nakal.

Mungkin sahabat pembaca masih belum dapat mesej yang cuba saya sampaikan. Ok, jom saya bawakan sahabat satu analogi kehidupan...

Dalam hidup ini pernah tak kita terfikir;
"Eyy, kenapalah budak ni perangai tak semenggah macam ni? Bukannya dia tak pergi sekolah agama, tapi perangai tak ubah macam si comel liar kat hutan nu haa?"

"Aku dah penat dah nasihat dia, tapi lagu tu jugak..tak pernah berubah pun! Buang air liur."

"Mak bapak dia tak ajar ke macam mana nak hormat orang tua? Teruk betul."

"Ni yang ramai-ramai melepak kat kedai mamak ni tak reti nak pergi solat Maghrib ke?"

"Apa nak jadi orang kita, kes murtad sana-sini. Hmm..."

Saya yakin pasti sahabat pernah melalui sekurang-kurangnya satu daripada banyak-banyak situasi di atas, bukan? Saya di sini menulis bukan niat untuk membebel tak tentu hala, tapi dek kerana tak tahan loya melihat sana-sini orang pakai ketayap pak haji, tapi perangai ... (lu pikir lah sendiri)

Tahukah kita bahawa kenapa gejala sosial di kalangan remaja MELAYU dan ISLAM ini semakin berleluasa?

Tak payah sibuk sangatlah nak tuding jari sana-sini..Tu haa..satu jari duk tunjuk kat orang, empat lagi tunjuk kat diri sendiri. Salah kita sendiri sebenarnya!

Come on lah, babe! Be CREATIVE and INNOVATIVE! Not the conservative one. Kita perlu lebih kreatif dalam mendekati remaja. Secara peribadinya, saya fikir pendekatan menggunakan ceramah tipikal ustaz ni dah tak relevan dah dengan muda-mudi zaman BB (Blackberry) nih. Betul tak?

Apa yang perlu kita ubah dan islah sekarang ini adalah strategi perang saraf kita. Kita mestilah melakukan transformasi dalam modus operandi kita. Tukarkan tribulasi itu menjadi suatu kelebihan dan peluang untuk kita. Huh? Macamana?  

"Cakap senanglah weyh..."

Contoh:-
1- Cabaran: Seorang pemuda yang suka sangat dengar lagu-lagu yang melalaikan (biasanya lagu-lagu rentak kontemporari - hip hop, jazz, R&B). Kesannya, hatinya mula 'berkarat' dari hari ke hari.

Strategi: Kita jadikan itu sebagai kelebihan dia dengan cara menghidangkan halwa telinganya dengan lagu-lagu yang berentak kontemporari TETAPI liriknya adalah makanan rohani.


2- Cabaran: Pemuda yang tidak mengamalkan ilmu yang dipelajarinya. Dia belajar agama tetapi hidupnya tidak seperti orang yang beragama. Orang agama tak semestinya beragama - realiti kehidupan.

Strategi: Kita tarik dia secara perlahan-lahan dengan mendekatinya dan rapat dengannya. Berikan dia perhatian dan kasih sayang. Ikatlah hatinya dengan kasih sayang terlebih dahulu kerana pesan Imam Hassan alBanna, "Senjata dakwah yang terhebat adalah senjata kasih sayang." Apabila dia mula menyayangi kita, secara psikologi, dia akan beransur-ansur 'mengikuti' kita. Tetapi pada masa yang sama, kita mestilah berusaha sedaya upaya untuk mempamerkan sifat yang baik sebagai Muslim. Ini kerana punca utama  mengapa ramai orang Islam murtad hari ini adalah kerana mubaligh-mubaligh Kristian itu lebih caring daripada ustaz, ustazah yang sibuk berceramah agama sana-sini.


3- Cabaran: Pemuda yang gemar berhujah untuk melepaskan diri daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim.

Strategi: Kita perlu banyak membaca bahan ilmiah. Pemuda seperti ini lebih sesuai kita gunakan pendekatan yang logik akal, saintifik dan kritis, sebagai tambahan kepada dalil-dalil naqli yang dilontarkan kepadanya. Layanlah segala persoalannya dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. InsyaAllah, hatinya akan lebih mudah tersentuh.

Selebihnya, sahabat pembaca boleh cadangkan juga kepada saya melalui ruangan komen. Tentu sahabat lebih banyak pengalaman daripada saya. Well, experience is the best teacher.

Bukan niat saya untuk berlagak bagus di sini sedangkan empunya diri juga masih banyak kekurangannya. Cuma saya berasa terpanggil untuk menjalankan tanggungjawab ummah ini dengan kemampuan menulis yang Allah beri. Harapan saya, semoga segala buah fikiran yang saya lontarkan di blog ini menjadi hadaman untuk rohani kita semua. Sambutlah salam perjuangan yang diwarisi daripada nabi kita, Muhammad SAW dan para sahabat. "Selamatkan akidah umat ini!"

ALLAHU AKBAR!!!


Rujukan:
i.  Halaqah TV 9 - Terancamkah Akidah? (15 Nov. 2011)
ii. Buku Murtad Jangan Pandang Sebelah Mata oleh Ann Wan Seng terbitan MUSTREAD



QueeNischK~ "My Lord show me right from wrong, Give me light make me strong, I know the road is long, Make me strong."